MATUNGGONG: Sambutan Hari Sabah bukan sekadar memperingati sejarah negeri, tetapi menjadi ruang penting untuk rakyat menghargai identiti dan budaya Sabah sambil terus memperkukuh semangat kebersamaan sebagai rakyat Malaysia.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, sambutan itu turut memberi peluang kepada rakyat mengenang kedudukan serta peranan Sabah dalam pembentukan Malaysia.
“Kita bukan sahaja sebuah negeri yang berdaulat, tetapi kita juga menghormati negara kita sebagai sebuah negara yang berdaulat.
“Kita mempunyai peranan untuk memastikan negara ini kekal sebagai sebuah negara yang boleh kita hidup bersama, dan kita juga mempunyai peranan untuk memastikan negara ini terus bergerak sebagai sebuah identiti yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Hari Sabah Peringkat Daerah Kecil Matunggong 2026 di Dewan Terbuka Pekan Matunggong, pada Jumaat.
Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, semangat menghargai identiti Sabah perlu bergerak seiring dengan usaha memupuk perpaduan dan kecintaan terhadap negara.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat menyokong inisiatif “1 Rumah 1 Jalur Gemilang” dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.
Menurutnya, kibaran Jalur Gemilang menjadi simbol penyatuan masyarakat berbilang kaum di bawah satu identiti sebagai rakyat Malaysia.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menggantikan Jalur Gemilang yang sudah rosak atau lusuh sebagai tanda menghormati simbol negara.
Sementara itu, Julita menggesa masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat menerusi media sosial, terutama dalam menghadapi lambakan kandungan yang belum dipastikan kesahihannya.
Beliau menyeru masyarakat mengamalkan prinsip “semak sebelum percaya dan semak sebelum berkongsi” dengan merujuk sumber yang sahih sebelum menyebarkan sesuatu maklumat.






