TENOM: Seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun cedera selepas kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di bahu Jalan Tenom-Kemabong, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, PKPgB Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 9.26 malam sebelum enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9.44 malam selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira tiga kilometer.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terbalik di bahu jalan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 61 tahun yang mengalami kecederaan dan mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mudi berkata, mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
“Selepas memastikan keadaan selamat dan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.10 malam,” katanya.
Operasi diketuai PBK I Mohamad Herryzan Epui Ridzuan dengan kekuatan enam anggota BBP Tenom, manakala tiga anggota KKM turut berada di lokasi.






