KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai saf baharu 25 Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik menerusi penstrukturan semula bahagian parti mengikut kawasan Parlimen di seluruh Sabah.
Penstrukturan itu dilaksanakan sebagai langkah memperkukuh struktur organisasi dan memperkasa kepimpinan parti di peringkat bahagian dengan menampilkan gabungan pemimpin senior berpengalaman, tokoh muda serta muka baharu daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat (GRS) berkata, gabungan kepimpinan merentas generasi itu penting bagi memastikan Gagasan Rakyat terus mempunyai barisan yang kukuh dari segi pengalaman, selain bersedia membawa pembaharuan selaras perkembangan politik dan tuntutan masyarakat semasa.
“Kita mahu membina satu pasukan yang menggabungkan pengalaman dengan tenaga baharu. Pemimpin senior mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan yang sangat bernilai, manakala pemimpin muda dan muka baharu membawa perspektif serta idea yang segar.
“Gabungan ini penting supaya organisasi kita tidak hanya kukuh dari segi pengalaman, tetapi juga sentiasa bersedia melakukan pembaharuan dan bergerak mengikut perkembangan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, pemilihan 25 Ketua Bahagian (Penaja) itu dibuat dengan mengambil kira pengalaman, kemampuan memimpin, rekod khidmat kepada masyarakat, penerimaan akar umbi serta keupayaan menggerakkan organisasi secara berkesan.
Beliau berkata, setiap Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik diberikan tanggungjawab besar untuk memperkemas organisasi, memperkukuh jaringan akar umbi, memperluaskan keahlian dan menggerakkan aktiviti parti di kawasan masing-masing.
Pada masa sama, katanya, kepimpinan bahagian perlu memastikan parti terus dekat dengan masyarakat dan mampu membawa aspirasi rakyat menerusi gerak kerja yang berkesan.
“Kita mahu setiap bahagian menjadi organisasi yang hidup, aktif dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
“Ketua Bahagian bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memikul amanah untuk membina organisasi, menyatukan ahli dan membawa suara masyarakat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Hajiji turut menegaskan kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada individu yang memimpin, sebaliknya turut ditentukan oleh kerjasama seluruh pasukan dan kemampuan kepimpinan bahagian menterjemahkan agenda parti kepada khidmat yang dapat dirasai masyarakat.
Beliau berharap pelantikan itu menjadi titik tolak kepada pembentukan saf kepimpinan Gagasan Rakyat yang lebih kukuh, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada semua yang dilantik dan berharap mereka melaksanakan amanah dengan penuh integriti, komitmen serta semangat berpasukan demi kepentingan parti dan rakyat.
Senarai 25 Ketua Bahagian (Penaja) Gagasan Rakyat yang dilantik ialah:
1. Kudat – Datuk Seri Ruddy Awah
2. Kota Marudu – Saripin Magana
3. Kota Belud – Datuk Mohd Arsad Bistari
4. Tuaran – Datuk Seri Hajiji Noor
5. Sepanggar – Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi
6. Kota Kinabalu – Datuk Faisyal YH Diego
7. Putatan – Shah Alfie Yahya Ahmad Shah
8. Penampang – Datuk Ceasar Mandela Malakun
9. Papar – Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar
10. Kimanis – Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif
11. Beaufort – Datuk Isnin Aliasnih
12. Sipitang – Datuk Dr. Yusof Yacob
13. Ranau – Datuk Seri Masidi Manjun
14. Keningau – Datuk Azaman Ruslan
15. Tenom – Datuk Rubin Balang
16. Pensiangan – Datuk Abdul Ghani Yassin
17. Beluran – Datuk James Ratib
18. Libaran – Datuk Hazem Mubarak Tun Musa
19. Batu Sapi – Datuk George Hiew Vun Zin
20. Sandakan – Datuk Awang Kadin Tang
21. Kinabatangan – Datuk Masiung Banah
22. Lahad Datu – Ir. Rajesh Datuk Yusof
23. Semporna – Datuk Dr. Mohd Jasmin Julpin
24. Tawau – Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
25. Kalabakan – Dr. Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal






