Kebakaran Numbak: 202 Rumah Terjejas, 134 Mangsa Dipindahkan

Kebakaran Numbak: 202 Rumah Terjejas, 134 Mangsa Dipindahkan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebanyak 202 rumah terjejas dalam kebakaran rumah atas air di Kampung Numbak, di sini, awal pagi tadi, dengan 134 mangsa daripada 40 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat ini dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, setakat jam 4 petang, dua PPS yang beroperasi ialah Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Damai.

Daripada jumlah keseluruhan mangsa, seramai 110 orang daripada 34 KIR ditempatkan di Dewan Serbaguna Likas, manakala 24 mangsa daripada enam KIR ditempatkan di Dewan Damai.

Kedua-dua PPS dibuka pada jam 10 pagi dan jumlah mangsa yang berdaftar dilaporkan masih meningkat.

Kebakaran yang dilaporkan pada jam 1.40 pagi itu turut meragut nyawa tiga kanak-kanak, dengan JPBN merekodkan tiga kematian akibat kejadian berkenaan.

Jabatan Kebajikan dan Perkhidmatan Am Sabah mengesahkan ketiga-tiga mangsa merupakan warganegara Malaysia iaitu Mohd Asrul Abdullah, 6; Nana Abdullah, 4; dan Nur Farah Bilah Mohd Tajah, 8.

Kebakaran membabitkan kawasan rumah setinggan atas air merangkumi Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama, dengan kawasan terjejas dianggarkan berkeluasan 260 meter kali 380 meter.

Operasi pemadaman membabitkan 44 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran dengan bantuan agensi lain.

Kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran, manakala operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul diteruskan.

Sementara itu, JPBN memaklumkan keadaan di Dewan Serbaguna Likas sesak berikutan proses pendaftaran mangsa yang masih berlangsung.

Dewan Damai yang mempunyai kapasiti kira-kira 70 khemah atau mampu menempatkan lebih 100 keluarga turut dibuka sebagai PPS kedua bagi menampung keperluan mangsa.

Pengamatan awal turut mendapati sebahagian penghuni kawasan rumah setinggan terbabit bukan penduduk tempatan.

Sehubungan itu, PPS disediakan untuk warga tempatan yang terjejas, manakala kawalan dilaksanakan bagi memastikan tiada pembinaan struktur baharu di kawasan setinggan berkenaan.

JPBN Sabah akan terus memantau perkembangan situasi termasuk proses pendaftaran mangsa, keperluan di PPS serta operasi pascabencana dari semasa ke semasa.