Doktor Kota Marudu Rugi RM 63 Ribu Kepada Macau Scam

Doktor Kota Marudu Rugi RM 63 Ribu Kepada Macau Scam

0
SHARE

KOTA MARUDU, SABAH – Seorang doktor kerajaan kehilangan wang simpanan berjumlah RM 63,950 setelah menjadi mangsa terbaharu penipuan Macau Scam di sini.

Wang kepunyaan mangsa wanita berumur 31 tahun itu lesap dalam beberapa jam selepas menerima panggilan dari individu yang kononnya seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Polis Kota Marudu, Supt Zairolnizal Ishak berkata, pemanggil 1.50 petang semalam itu mendakwa identiti mangsa sedang diguna pakai oleh sebuah syarikat yang mempunyai cukai tertunggak.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai cukai tertunggak selama 15 bulan berjumlah RM 228,000…

“Panggilan itu kemudian disambung kepada seorang yang menyamar sebagai seorang pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka.

“Dakwa pemanggil baharu itu lagi, mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram dan penyelupan dadah,” katanya.

Zairolnizal berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada jam 5.30 petang hari yang sama setelah memberi butiran akaun bank beliau kepada ‘scammer’ berkenaan.

Bagaimanapun nasi sudah menjadi bubur bagi mangsa kerana semakan semula pada akaun banknya mendapati ianya telah dikosongkan.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis setelah menyedari dirinya ditipu…

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 kerana menipu,” tambah Zairolnizal.

Beliau mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali dan jangan memberikan sebarang maklumat peribadi khususnya berkait perbankan melalui panggilan telefon.