LAHAD DATU, SABAH – Masyarakat masa kini perlu menolak anasir-anasir negatif yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam bagi mencerminkan kematangan rakyat yang merdeka.
Menurut Pegawai Khas Ketua Menteri, Mohd Ismail Mohd Ayub berkata, kemerdekaan kini bukan sekadar bebas dari penjajah malahan perlu merdeka dari segi pemikiran dan pandangan.
“Sebagai rakyat yang merdeka marilah bersama-sama membina sebuah negara yang bukan sahaja bebas dari segi fizikal, tetapi juga bebas dari segi pemikiran serta budaya.
“Perjuangan wira-wira negara perlu dihayati oleh semua masyarakat dengan menyemarakkan lagi bulan kebangsaan agar lebih memahami erti kemerdekaan itu sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Kinabatangan 2024.
Menurut Ismail, tema Malaysia Madani sinonim dengan masyarakat negeri Sabah kerana kepelbagaian agama, bangsa dan etnik.
“Amalan hormat menghormati sesama masyarakat menjadi kunci utama perpaduan rakyat Sabah selari dengan prinsip Rukun Negara,” ujarnya.
Beliau berharap masyarakat Kinabatangan agar mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah di rumah dan kereta serta di tempat-tempat yang bersesuaian bagi menunjukkan semangat patriotisme.
Dalam majlis yang sama, Ismail menyaksikan penyerahan sijil watikah perlantikan Komuniti Madani kepada enam orang pengerusi, sebelum menyempurnakan pelepasan Konvoi KMJG yang melibatkan 16 buah kenderaan dari 14 agensi ke destinasi seterusnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH