KOTA BELUD: Sembilan pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Tuaran cedera ringan selepas bas persiaran yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Simpang Tiga Jalan Kota Belud-Kundasang, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PKPgB Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11 pagi menerusi NG999.
Katanya, sebuah pasukan dari BBP Kota Belud digerakkan ke lokasi sejauh 39 kilometer dan tiba pada jam 11.40 pagi.
“Berdasarkan laporan Komander Operasi, kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang disewa untuk membawa 35 pelajar dan seorang guru dari SM Sains Tuaran.
“Akibat kejadian itu, sembilan pelajar mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Elge berkata, mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tuaran, KKM Kota Belud serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, operasi diketuai PBK I Mohd Farhad Abdullah dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan APM.
“Pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.32 tengah hari,” katanya.






