KOTA KINABALU: Selepas membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa pada penyertaan terdahulu di Sarawak, skuad Boccia Sabah kini memasang sasaran lebih tinggi untuk memburu sekurang-kurangnya satu emas pada Para SUKMA XXI Selangor 2026.
Jurulatih Boccia Sabah, Bolodin Salinsig berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan persiapan pasukan termasuk menerusi atlet sandaran, Agarda Scott yang kini menjalani program latihan di Kuala Lumpur.
“Harapan kita sekurang-kurangnya dapat satu emas. Kebetulan ada seorang atlet kita, Agarda Scott yang sedang dalam program latihan di Kuala Lumpur.
“Kalau diizinkan, kita harap dapat satu emas. Keyakinan itu memang ada, cuma kita tengok nanti ketika kejohanan,” katanya ketika ditemui sebelum kontinjen Sabah berlepas ke Selangor pada Khamis.

Menurut Bolodin, 63, penyertaan di Selangor merupakan kali kedua skuad boccia Sabah beraksi di pentas Para SUKMA.
Katanya, meskipun Boccia sudah lama berkembang sebagai sukan para, penyertaan Sabah dalam acara berkenaan di Para SUKMA masih baharu.
“Ini baru penyertaan kali kedua kita dalam Para SUKMA. Sukan Boccia sebenarnya sudah lama, tetapi di Sabah ia baru diperkenalkan.
“Pada penyertaan sebelum ini, kita berjaya mendapat satu pingat perak dan satu gangsa,” katanya.
Mengulas mengenai saingan di Selangor, Bolodin menjangkakan Sarawak menjadi antara pencabar utama skuad Sabah berikutan pengalaman negeri berkenaan yang lebih lama dalam sukan itu.
“Memang saingan kita Sarawak kerana mereka sudah lama bertapak dengan sukan ini. Sabah pula baru berkecimpung dalam sukan ini di Para SUKMA.
“Sasaran kita tahun ini sekurang-kurangnya satu emas. Keyakinan itu memang ada,” katanya.
Sementara itu, kontinjen Sabah yang terdiri daripada 154 atlet bagi 10 jenis sukan telah berlepas ke Selangor pada Khamis menerusi dua penerbangan masing-masing pada jam 11.30 pagi dan 12.40 tengah hari.
Para SUKMA XXI Selangor 2026 berlangsung dari 5 hingga 10 September, dengan kontinjen Sabah membawa misi memburu 66 pingat emas.
Sabah mengambil bahagian dalam 10 jenis sukan iaitu boccia, para badminton, para memanah, para olahraga, para ping pong, para powerlifting, para renang, para catur, para boling padang dan para tenpin boling.






