Alami Diarrhea Tiga Hari, Salleh Pengsan Ketika Solat Hingga Cedera di Kepala

Alami Diarrhea Tiga Hari, Salleh Pengsan Ketika Solat Hingga Cedera di Kepala

0
SHARE

KOTA KINABALU: Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak kini berada dalam keadaan stabil selepas pengsan dan terjatuh ketika menunaikan solat sehingga mengalami kecederaan di kepala yang memerlukan jahitan.

Salleh yang juga Ketua Merinyu Projek Sabah dan Bendahari UMNO Sabah berkata, kejadian itu berlaku semalam selepas beliau mengalami diarrhea (cirit-birit) selama tiga hari.

Menurutnya, beliau tiba-tiba berasa pening ketika sedang menunaikan solat sebelum pengsan dan terjatuh, menyebabkan kepalanya terkena meja di hadapan.

“Saya mengalami sakit diarrhea selama tiga hari. Ketika solat semalam, saya tiba-tiba berasa pening lalu pengsan dan terjatuh.

“Kepala saya terkena meja di hadapan dan mengalami luka yang memerlukan jahitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salleh berkata, rawatan terhadap kecederaan berkenaan telah selesai dan keadaannya kini stabil.

Bagaimanapun, beliau dinasihatkan doktor supaya mendapatkan rehat secukupnya serta berada di bawah pemantauan untuk beberapa hari.

“Alhamdulillah, rawatan telah selesai dan keadaan saya kini stabil. Atas nasihat doktor, saya perlu berehat dan berada di bawah pemantauan untuk beberapa hari.

“Buat masa ini, kunjungan juga tidak digalakkan supaya saya dapat berehat sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh memohon maaf sekiranya terdapat urusan atau pertemuan yang terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu berikutan keadaan kesihatannya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas doa dan keprihatinan yang diberikan.

“Terima kasih atas doa, keprihatinan dan kefahaman semua. Insya-Allah, semoga dipermudahkan dan diberi kesihatan untuk kembali seperti biasa,” katanya.