Dabra Ungguli Minggu Pertama Pentas Borneo Rising, Tiada Penyingkiran

Dabra Ungguli Minggu Pertama Pentas Borneo Rising, Tiada Penyingkiran

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Peserta Dabra mencuri tumpuan pada minggu pertama program realiti nyanyian Borneo Rising apabila mengungguli kedudukan dengan markah keseluruhan 78.95 peratus menerusi persembahan memukau lagu Wicked Game nyanyian asal Chris Isaak.

Persembahan vokalnya bukan sahaja mendapat pujian barisan juri, malah mencetuskan sorakan penonton di ITC sekali gus meletakkannya di hadapan Petrova yang meraih 76.92 peratus.

Syukri pula menduduki tempat ketiga dengan 72.28 peratus, diikuti Havard (71.36 peratus), Harris (67.66 peratus) dan Joy (66.91 peratus), melengkapkan kelompok enam peserta terbaik pada minggu pembukaan.

Kecemerlangan Dabra turut membolehkannya membawa pulang wang tunai RM1,000 selepas dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Paling Power sumbangan CelcomDigi pada segmen terakhir pertandingan.

Minggu pertama bertemakan This Is Me bagaimanapun menyaksikan Faris, Rizzani dan Aadel berada di kelompok tiga terbawah selepas memperoleh markah keseluruhan terendah.

Namun, Faris terselamat daripada saingan penentuan apabila barisan juri membuat keputusan menyelamatkannya pada saat akhir.

Keputusan itu bermakna Rizzani dan Aadel perlu berentap dalam sesi battle pada segmen pertama minggu kedua bagi menentukan nasib masing-masing dalam pertandingan.

Tiada peserta disingkirkan pada minggu pembukaan, sekali gus menyaksikan kesemua peserta masih berpeluang meneruskan perjuangan dalam Borneo Rising.

Program berkenaan boleh disaksikan setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104), TV Okey (Saluran 146), selain secara dalam talian menerusi On Demand, Astro GO, Sooka dan RTMKlik.