Para SUKMA Sabah Lepasi Sasaran, Raih 69 Pingat Emas, Hajiji Puji Semangat...

Para SUKMA Sabah Lepasi Sasaran, Raih 69 Pingat Emas, Hajiji Puji Semangat Juang Atlet

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kejayaan Kontinjen Para SUKMA Sabah meraih 69 pingat emas dan muncul naib juara keseluruhan sebagai pencapaian membanggakan yang mengharumkan nama negeri di pentas kebangsaan.

Kontinjen Sabah menamatkan saingan dengan keseluruhan 165 pingat, terdiri daripada 69 emas, 51 perak dan 45 gangsa, selain mencipta 18 rekod baharu sepanjang temasya.

Pencapaian 69 pingat emas itu turut menyaksikan kontinjen negeri berjaya melepasi sasaran awal sebanyak 66 emas.

Hajiji dalam kenyataan menerusi Facebook pada Khamis merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen atas pencapaian cemerlang berkenaan.

“Lebih membanggakan, pencapaian 69 emas ini berjaya mengatasi sasaran 66 emas yang telah ditetapkan.

Kejayaan ini mencerminkan semangat juang, ketabahan dan disiplin luar biasa para atlet kita yang turut disokong oleh komitmen jurulatih, pegawai dan seluruh ahli pasukan,” katanya.

Beliau turut menghargai sokongan serta doa rakyat Sabah yang sentiasa bersama kontinjen negeri sepanjang temasya berlangsung.

Menurut Hajiji, kejayaan berkenaan bukan sahaja menjadi kebanggaan bersama rakyat Sabah, malah mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar kecemerlangan.

“Tahniah Team Sabah! Teruskan mengharumkan nama Sabah. Sabah Go For Gold!” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan tersebut membuktikan kemampuan atlet Para Sabah untuk terus mencipta kecemerlangan di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata pencapaian berkenaan merupakan hasil semangat juang dan kesungguhan atlet serta kerjasama erat jurulatih, pegawai, pasukan sokongan dan keluarga atlet.

“Kejayaan ini berjaya dicapai hasil kerjasama erat pelbagai pihak. Ia membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil untuk kita capai apabila kita bergerak bersama dengan kerjasama, disiplin, komitmen dan usaha keras,” katanya.

Nizam turut berterima kasih kepada rakyat Sabah yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan kontinjen negeri.

Katanya, pencapaian itu membuktikan atlet Para Sabah mempunyai keupayaan untuk terus mencipta kejayaan serta mengharumkan nama negeri di pentas kebangsaan.

“Tahniah Team Sabah! Kamu semua adalah kebanggaan rakyat Sabah. Sabah Go For Gold!” katanya.