Tambah Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak Jangan Sekadar Gimik – Victor

Tambah Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak Jangan Sekadar Gimik – Victor

0
SHARE

TAMBUNAN: Pengumuman penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak diharap tidak berakhir sebagai sekadar gimik atau janji politik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan dan pelaksanaan sebenar.

Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Tambunan, Datuk Victor P. Paut berkata, perkembangan itu sememangnya dinanti-nantikan rakyat Sabah dan Sarawak selepas sekian lama perkara berkenaan menjadi antara tuntutan berkaitan kedudukan kedua-dua wilayah dalam Persekutuan.

Menurutnya, isu penambahan kerusi Parlimen perlu dilihat berdasarkan sejarah pembentukan Malaysia serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas kepada kedudukan Sabah dan Sarawak dalam negara ini.

“Ini satu pengumuman yang kita tunggu-tunggu.

“Sebenarnya penambahan kerusi itu kalau dikaji daripada sejarah MA63, apabila Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada 1965, kuota Singapura itu sepatutnya dibahagikan kepada Sabah dan Sarawak.

“Ini kerana satu pertiga daripada kerusi itu adalah untuk Sabah dan Sarawak, manakala satu pertiga lagi dipegang oleh Singapura,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Pertanian Pintar anjuran Sawit Kinabalu di sini, pada Sabtu.

Victor berkata, selepas Singapura keluar daripada Malaysia, isu pembahagian semula kerusi berkenaan sewajarnya diberi perhatian bagi memastikan kedudukan Sabah dan Sarawak di Parlimen lebih mencerminkan sejarah pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, tempoh lebih enam dekad menunggu perkembangan berkenaan menunjukkan ia bukan tuntutan baharu, sebaliknya isu yang sudah lama menjadi perhatian rakyat Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, katanya, rakyat Sabah tidak mahu pengumuman berkenaan hanya berakhir sebagai kenyataan politik tanpa tindakan susulan yang jelas.

“Sudah sampai masanya setelah lebih kurang 61 tahun, kita menunggu saat ini.

“Kita berharap jangan hanya janji, kita mahu ia dilaksanakan.

“Itulah yang rakyat Sabah tunggu-tunggu dan jangan lupa juga tuntutan 40 peratus kita.

“Kita juga tidak mahu ini sebagai satu gimik dan berharap PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan menunaikan janjinya kerana bukan saja kita mahu, semua rakyat Sabah mahu kerana perkara itu adalah dalam MA63,” katanya.

Sehubungan itu, Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera yakin pelaksanaan penambahan kerusi Parlimen itu kelak akan memastikan suara Sabah dan Sarawak terus mendapat tempat sewajarnya dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan.