Pewaris Malaysia Sasar Lahirkan Usahawan, Kini Miliki 30,000 Ahli Seluruh Negara

Pewaris Malaysia Sasar Lahirkan Usahawan, Kini Miliki 30,000 Ahli Seluruh Negara

0
SHARE

SHAH ALAM: Pertubuhan Pewaris Malaysia menyasarkan untuk memperkasakan ekonomi anggotanya dengan melahirkan lebih ramai dalam pelbagai sektor perniagaan merangkumi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presiden Pewaris Malaysia, Datuk Azha Mustaffa berkata, pertubuhan itu kini memperluas peranan bukan sahaja dalam aspek penyatuan bangsa, malah memberi fokus utama kepada pemerkasaan ekonomi ahli serta masyarakat Melayu secara keseluruhannya.

Menurut beliau, organisasi itu kini merekodkan keahlian hampir 30,000 orang di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Selama empat tahun menerajui Pewaris, fokus utama kami adalah memperkasakan ekonomi ahli dan seterusnya masyarakat Melayu.

“Kami mahu membantu sesiapa sahaja yang berminat untuk bangkit membina ekonomi.

“Malah, kami juga telah melangkah ke luar negara seperti di Filipina dan Indonesia bagi membuka ruang serta peluang perniagaan baharu khusus untuk produk kesihatan dan pelbagai sektor lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Pertubuhan Pewaris Malaysia di sini, pada Sabtu.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan sebagai tetamu kehormat.

Turut hadir pada majlis yang dihimpunkan hampir 400 tetamu itu adalah barisan Ahli Majlis Tertinggi Pewaris serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.

Untuk rekod, Pertubuhan Pewaris Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2009 dengan matlamat menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memelihara jati diri bangsa Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama Persekutuan. Sejak penubuhannya, organisasi ini aktif dalam pelbagai misi kemanusiaan dan kebajikan akar umbi mahupun peringkat nasional, termasuk misi bantuan Flotilla ke Gaza, Palestine pada 2017.

Azha menjelaskan bahawa faktor minat dalam kalangan ahli menjadi kunci utama bagi memastikan kejayaan program pembangunan usahawan yang dirancang.

“Walaupun mereka ahli Pewaris, kalau tiada minat (berniaga), agak sukar. Namun, pihak pertubuhan akan terus membimbing dan memberi sokongan untuk membangkitkan semangat mereka dengan memanfaatkan peluang ekonomi yang ada.

“Di samping itu, hasil daripada perniagaan yang dijalankan termasuk operasi kilang Pewaris di Subang, Selangor akan disalurkan semula bagi menyokong program kebajikan dan kemanusiaan pertubuhan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan peruntukan sebanyak RM20,000 yang diberikan oleh Ahmad Maslan bagi menyokong aktiviti serta gerak kerja ekonomi pertubuhan berkenaan.

Sementara itu, pengasas pertubuhan berkenaan, Datuk Ab Malek Ranting berkata, penubuhan Pewaris berteraskan usaha murni untuk memperjuangkan kepentingan politik, ekonomi, bahasa kebangsaan, serta mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.

Selain aktiviti kebajikan seperti misi bantuan bencana tsunami di Aceh, Indonesia sebelum ini, Pewaris kini memberi fokus kepada pembangunan ekonomi ahli dengan pelbagai perancangan baharu.

“Antaranya termasuklah cadangan penubuhan Tabung Kafalah bagi memberi jaminan dan galakan kepada anak-anak Pewaris untuk menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Ab Malek menambah, bagi memperkukuh ekonomi ahli, pimpinan pertubuhan itu turut mengorak langkah menubuhkan perniagaan produk kesihatan di luar negara seperti Indonesia dan Filipina.

Jelas beliau, sebahagian hasil dan keuntungan daripada perniagaan tersebut akan disalurkan semula dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong aktiviti serta pergerakan Pewaris Malaysia.