PENAMPANG: Seorang pejalan kaki warga emas maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta ketika sedang melintas jalan di Jalan Penampang-Kota Kinabalu berhampiran Penampang Baru, di sini pada petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu membabitkan sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 66 tahun dan mangsa, seorang lelaki warga asing berusia 81 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melintas jalan sebelum kemalangan berlaku.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pakar perubatan sebelum mayat dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Pada masa sama, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta peka terhadap keadaan persekitaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.






