Tujuh Cedera Nahas Tiga Kereta di Keningau, Warga Emas Alami Minor Stroke

Tujuh Cedera Nahas Tiga Kereta di Keningau, Warga Emas Alami Minor Stroke

0
SHARE

KENINGAU: Tujuh individu termasuk dua kanak-kanak cedera, manakala seorang warga emas berusia 60 tahun dilaporkan mengalami minor stroke dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Binaong di sini, pada Jumaat.

Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kancil, Toyota Fortuner dan Mazda itu dilaporkan kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi sistem NG999 pada jam 7.16 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, sembilan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba pada jam 7.25 malam dan mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan dengan keseluruhan tujuh mangsa.

“Dua mangsa berada dalam kenderaan Mazda iaitu seorang lelaki berusia 60 tahun yang dilaporkan mengalami minor stroke dan pemandu wanita berusia 37 tahun yang cedera pada bahagian bahu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, anggota bomba menyelamatkan warga emas berkenaan menggunakan pengusung sebelum menghantarnya ke hospital menggunakan EMRS.

Katanya, empat mangsa yang menaiki Perodua Kancil pula mengalami kecederaan dan sudah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

Mereka terdiri daripada seorang lelaki berusia 36 tahun, wanita berusia 35 tahun, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

Seorang lagi mangsa yang menaiki Toyota Fortuner turut dilaporkan cedera dan sudah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba, namun maklumat lanjut mangsa tidak diperoleh.

Severinus berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.