RM10 Juta Untuk Naik Taraf Pengairan di Poguokon-Lagud Seberang, Tenom

RM10 Juta Untuk Naik Taraf Pengairan di Poguokon-Lagud Seberang, Tenom

0
SHARE

TENOM: Lebih 100 penanam padi bakal mendapat manfaat daripada peruntukan RM10 juta Kerajaan Negeri bagi menaik taraf sistem pengairan Poguokon-Lagud Seberang yang berdepan masalah pemendapan, kerosakan pam dan sistem pengairan sehingga menjejaskan bekalan air ke kira-kira 300 hektar kawasan sawah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, projek berkenaan diperlukan bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk mengairi kawasan penanaman padi terbabit.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Sumber Air Sabah berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah telah memohon peruntukan berkenaan yang kemudiannya diluluskan Kerajaan Negeri dan baru-baru ini ditender.

“Apabila dilaksanakan kelak, ia akan memberikan keselesaan kepada lebih 100 penanam padi di kawasan Poguokon, Manining, Lagud Seberang dan Pansailon serta kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia di Dewan Datuk Sanggau Jalang, di sini pada Sabtu.

Jamawi berkata, Kerajaan Negeri melalui JPS turut menaik taraf pam air di Makakumpai yang sebelum ini tidak dapat ditanam padi selama lebih 10 tahun akibat kerosakan pam dan sistem pengairan.

Katanya, usaha pembaikan dan pengubahsuaian akan diteruskan meskipun berdepan kerosakan termasuk kejadian kecurian wayar bagi memastikan kemudahan pengairan dapat digunakan semula untuk membantu masyarakat kampung pada musim penanaman.

“Walaupun berlaku kerosakan dan kecurian wayar, ia tidak melunturkan semangat pegawai-pegawai saya. Kita akan terus mengubah suai dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan supaya musim penanaman ini dapat kita bantu masyarakat kampung,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga telah menyiapkan sebuah empangan bernilai kira-kira RM250,000 di Kalang bagi mengairi kawasan sawah padi di kawasan berkenaan.

Di Melalap pula, katanya, tiga empangan air masing-masing bernilai RM200,000 telah diluluskan dan kini sedang dilaksanakan bagi membantu kira-kira 250 ekar kawasan sawah padi di Kampung Langsat, Kampung Kasiai dan Kampung Ulu Sumbiling.

Jamawi berkata, komitmen kerajaan bersama JPS akan diteruskan bukan sahaja di Tenom, malah di kawasan lain bagi meningkatkan kemudahan pengairan untuk petani.

Beliau turut menggalakkan masyarakat tani menyalurkan maklumat mengenai keperluan pembaikan tali air supaya keutamaan dapat diberikan dalam perancangan pelaksanaan projek tahun depan.

Selain itu, kerajaan menyediakan RM7 juta bagi sistem kawalan saliran air di kawasan pekan serta RM2.5 juta untuk mencegah hakisan tanah di Pusat Kebudayaan Murut, Tenom.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata kementeriannya akan menyelesaikan pengagihan jentera pembajak, jentera penanam dan jentera penuai kepada masyarakat sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) yang akan berlangsung di Tenom.

HPPNS peringkat negeri dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober di Padang Pekan Tenom dan Dewan Datuk Seri Panglima Antanom Tenom, dengan majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri pada 24 Oktober, jam 10 pagi.

“Kita mengalu-alukan semua masyarakat, petani, penternak, nelayan, penoreh getah dan sesiapa sahaja yang berminat dengan industri pertanian untuk datang beramai-ramai.

“Walaupun tidak sama seperti MAHA, sekurang-kurangnya kita dapat menonjolkan kepelbagaian aktiviti petani, penternak, nelayan dan penoreh getah di negeri kita,” katanya.

Menurut Jamawi, pegawai kementerian turut berada di lokasi bagi memberi penerangan dan membantu orang ramai membuat pendaftaran berkaitan subsidi, bantuan serta peluang dalam industri pertanian.

Sementara itu, beliau berkata Sambutan Hari Sungai Sedunia penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai kepentingan memelihara sumber air sungai.

Katanya, sungai bukan sahaja menjadi sumber makanan, malah sumber air minuman, justeru kebersihan dan kualitinya perlu dipelihara masyarakat kampung serta komuniti yang tinggal di sekitarnya.

“Kalau sumber ini tercemar, keseluruhan alirannya akan tercemar dan memberikan air yang kurang bersih untuk dinikmati seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pemeliharaan sungai secara bersama penting bagi menjamin sumber air minuman yang lebih selamat dan terjamin untuk masyarakat di seluruh negeri.