Sabah kaji pendekatan MBDK dalam pengurusan PBT

Sabah kaji pendekatan MBDK dalam pengurusan PBT

0
SHARE

KLANG: Kerajaan Negeri Sabah berhasrat mencontohi beberapa pendekatan pengurusan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), khususnya dalam aspek penguatkuasaan, digitalisasi dan pengurusan sisa pepejal.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arifin berkata lawatan penanda aras ke MBDK penting bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti amalan terbaik yang boleh disesuaikan dan dilaksanakan di negeri itu.

Katanya, selain tiga aspek berkenaan, pihaknya turut melihat aspek tata kelola, kutipan serta penyelarasan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Banyak yang boleh kita pelajari dan kita praktikkan di Negeri Sabah. Kita belajar dari sudut penguatkuasaan, kemudian digitalisasi yang ada di Majlis ini dan juga berhubung dengan sisa pepejal.

“Ada beberapa perkara yang lain yang kita boleh pelajari berhubung dengan hal-hal tata kelola di Majlis atau di PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan penanda aras ke MBDK di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Maijol Mahap.

Mohd Ariffin berkata pihaknya turut merancang lawatan susulan ke beberapa lokasi berkaitan pengurusan sisa pepejal serta pelaksanaan konsep bandar pintar oleh PBT berkenaan.

“Insya-Allah, selepas ini Datuk SUB (Setiausaha Bahagian) kita bersama dengan tim akan melawat semula beberapa tempat termasuklah tentang sisa pepejal yang mana kita boleh pelajari dan juga cara-cara untuk mengemaskini berhubung dengan bandar pintar yang dilaksanakan di PBT ini,” katanya.

Beliau berkata lawatan itu turut diharap dapat mengukuhkan hubungan keilmuan dan pentadbiran antara Kerajaan Negeri Sabah dengan MBDK.

“Memang banyak yang boleh kita pelajari termasuk dari sudut kutipan, penguatkuasaan dan digitalisasi serta berhubung dengan penyelarasan hal-hal penguatkuasaan PBT,” katanya.