TENOM: Program ‘Matematik Mantap, Tenom Hebat’ merupakan inisiatif penting dalam membantu meningkatkan keyakinan dan pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, khususnya bagi menguasai mata pelajaran Matematik.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program berkenaan turut memberi peluang kepada pelajar memperkukuh pemahaman serta meningkatkan persediaan menghadapi peperiksaan.
Beliau berkata, Matematik mungkin menjadi antara mata pelajaran yang mencabar bagi sesetengah pelajar, namun kejayaan tidak semata-mata bergantung kepada kepintaran, sebaliknya kesungguhan untuk terus mencuba dan tidak mudah berputus asa.
“Matematik bukan soal siapa yang paling pandai, tetapi siapa yang sanggup terus mencuba, memahami dan tidak mudah berputus asa.
“Kalau tidak faham, tanya. Kalau salah, cuba lagi. Kalau susah, jangan terus mengalah,” katanya ketika merasmikan Program Kecemerlangan Akademik Matematik SPM 2026 di SMJK Chung Hwa, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Herbert Roger London.
Jamawi berkata, calon SPM 2026 perlu memanfaatkan program berkenaan dengan memberi perhatian kepada perkongsian guru dan penceramah, membuat nota serta memperbanyakkan latihan bagi meningkatkan penguasaan Matematik.
Menurutnya, SPM bukan sekadar peperiksaan untuk memperoleh keputusan cemerlang, tetapi menjadi langkah penting dalam menentukan hala tuju pendidikan dan masa depan pelajar.
“Kita mahu melihat lebih ramai anak Tenom berjaya. Bukan sahaja berjaya dalam SPM, tetapi berjaya melanjutkan pelajaran, membina kerjaya dan akhirnya kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan daerah kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendidikan bukan hanya tanggungjawab sekolah dan guru, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan pelajar mendapat bimbingan serta sokongan sewajarnya.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tenom, pihak sekolah, guru, penceramah serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
“Tenom Hebat bermula dengan anak-anak Tenom yang hebat.
“Dan anak-anak yang hebat tidak semestinya mereka yang tidak pernah gagal. Tetapi mereka ialah anak-anak yang bangun semula setiap kali jatuh, terus belajar dan tidak berhenti mengejar impian,” katanya.






