Kerajaan Indonesia Disaman Susulan Kebakaran Hutan, Jerebu Rentas Sempadan

Kerajaan Indonesia Disaman Susulan Kebakaran Hutan, Jerebu Rentas Sempadan

0
SHARE

PONTIANAK: Kerajaan Indonesia berdepan saman tindakan berkumpulan atas dakwaan kecuaian serius menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu tebal melanda beberapa kawasan di Borneo, termasuk merebak ke Malaysia dan Singapura.

Memetik laporan AFP, kes berkenaan mula didengar di sebuah mahkamah di Pontianak, Kalimantan Barat pada Rabu, selepas difailkan empat plaintif termasuk cawangan tempatan pertubuhan hak Orang Asli, AMAN, bulan lalu.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Gabenor Kalimantan Barat adalah antara 10 defendan yang dinamakan dalam saman itu.

Peguam plaintif, Glorio Sanen berkata, tindakan undang-undang tersebut bertujuan menangani masalah kebakaran hutan tahunan yang dikaitkan dengan kemusnahan hutan dan diburukkan oleh fenomena El Nino sehingga mencetuskan kemarau luar biasa tahun ini.

Indonesia sejak beberapa minggu lalu bergelut mengawal kebakaran hutan di Sumatera, Papua dan Borneo, dengan jerebu di Kalimantan Barat menyebabkan sekolah ditutup serta ratusan penduduk mendapatkan rawatan akibat masalah pernafasan.

Plaintif mendakwa kerajaan gagal menangani masalah berulang itu dan menuntut supaya kebakaran hutan serta jerebu diisytiharkan sebagai bencana nasional.

Mereka turut menuntut langkah pemulihan menyeluruh, termasuk kerajaan menanggung kos rawatan kesihatan penduduk yang terjejas.

Menurut AFP, tiada seorang pun defendan hadir pada prosiding pertama itu, manakala kes seumpamanya yang difailkan di Sumatera Selatan tahun lalu telah ditolak mahkamah.