SANDAKAN: Pengamal media dan pempengaruh memainkan peranan penting dalam memperkasakan promosi pelancongan Sabah, khususnya menerusi penghasilan kandungan digital yang kreatif dan berimpak tinggi bagi menarik kedatangan pelancong.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perkembangan teknologi digital menjadikan media antara platform utama dalam membentuk persepsi serta mempengaruhi keputusan pelancong memilih sesuatu destinasi.
“Dalam era digital hari ini, peranan media amat penting dalam membentuk persepsi dan mempengaruhi keputusan seseorang untuk melancong.
“Sebuah artikel yang menarik, sekeping foto yang memukau atau video pendek yang kreatif mampu memperkenalkan sesuatu destinasi kepada ribuan, malah jutaan orang di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 Sandakan di Dewan Tropicana, Elopura Hotel, di sini Sabtu lalu.
Jafry berkata, penyertaan 40 pengamal media menerusi 10 pasukan dalam program berkenaan membuktikan kepentingan kerjasama strategik antara industri pelancongan dan media bagi memperluas jangkauan promosi destinasi tempatan.
Sehubungan itu, beliau berharap pengalaman peserta meneroka keunikan Sandakan dapat diterjemahkan kepada kandungan yang autentik dan menarik untuk tatapan masyarakat tempatan serta antarabangsa.
Program anjuran Tourism Malaysia Sabah itu menghimpunkan seramai 121 peserta membabitkan 31 pasukan, termasuk 10 pasukan media.
Jafry turut merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia Sabah kerana memilih Sandakan sebagai lokasi pertama penganjuran program berkenaan.
Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat memperkukuh kerjasama pelbagai pihak dalam mempromosikan keunikan destinasi tempatan, sekali gus meningkatkan keterlihatan Sabah dan Malaysia di persada pelancongan antarabangsa sempena Visit Malaysia 2026-2027.






