Kesihatan, Pendidikan Guna Lebih Separuh Peruntukan RM18 Bilion Sabah – Masidi

Kesihatan, Pendidikan Guna Lebih Separuh Peruntukan RM18 Bilion Sabah – Masidi

0
SHARE

KUDAT: Sektor kesihatan dan pendidikan menggunakan lebih separuh daripada keseluruhan peruntukan RM18 bilion Kerajaan Persekutuan untuk Sabah, termasuk bagi menampung kos pengurusan serta pembayaran gaji penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peruntukan RM18 bilion itu bukan sepenuhnya untuk pembangunan, sebaliknya sebahagian besarnya digunakan bagi perbelanjaan pengurusan kementerian dan jabatan Persekutuan yang beroperasi di Sabah.

Beliau berkata, antara komitmen perbelanjaan terbesar ialah pembayaran gaji kira-kira 120,000 penjawat awam Persekutuan di negeri ini.

“Antara kos yang besar ialah membayar gaji kakitangan Persekutuan yang beroperasi di Sabah. Jumlah kakitangan awam Persekutuan di Sabah ialah 120,000 orang.

“Ambil misalnya jabatan yang terbesar iaitu Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan. Dua jabatan ini pun sudah mengambil lebih separuh daripada peruntukan RM18 bilion tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 di Kudat, pada Ahad.

Masidi yang juga Timbalan Pengerusi GRS menjelaskan, masyarakat perlu memahami bahawa peruntukan berkenaan disalurkan terus kepada kementerian dan jabatan Persekutuan di Sabah, bukannya keseluruhannya diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembangunan.

Katanya, peruntukan itu turut merangkumi pembiayaan projek pembangunan baharu serta penerusan projek sedia ada.

“RM18 bilion ini dibelanjakan oleh Persekutuan di Sabah, tetapi bukan semuanya untuk tujuan pembangunan.

“Memang ada pembangunan baharu dan ada juga peruntukan untuk projek yang sedang berjalan. Saya perlu jelaskan perkara ini supaya tidak timbul salah faham,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa jumlah peruntukan berkenaan tidak bermakna semua masalah pembangunan dan kemudahan asas di Sabah dapat diselesaikan menggunakan dana tersebut.

Katanya, pemahaman yang jelas mengenai pecahan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan penting bagi mengelakkan tanggapan bahawa keseluruhan RM18 bilion boleh digunakan untuk melaksanakan projek baharu di negeri ini.