
TUARAN, SABAH – Program JIWA Madani menjadi platform penyampaian maklumat inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pelaksanaan program berkenaan tepat pada masanya memandangkan warga Kiulu kini sedang fokus terhadap usaha memperkasakan tahap ekonomi.
“Program hari ini melibatkan perkongsian maklumat dan inisiatif daripada beberapa agensi kerajaan serta swasta yang semestinya memberi manfaat kepada mereka yang hadir.
“Saya rasa melalui program hari ini yang melibatkan agensi-agensi yang menawarkan bantuan kewangan atau pinjaman seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Perbadanan Pinjaman Sabah dapat membuka peluang kepada penduduk Kiulu untuk meningkatkan lagi ekonomi mereka.
“Selain itu, ada lebih banyak lagi inisiatif-inisiatif lain di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan saya cadangkan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kiulu untuk sekali lagi mengadakan program seperti ini pada masa akan datang.
“Penduduk boleh menyuarakan keperluan mereka kepada UPPM agar pengisian dan penglibatan agensi pada program akan datang lebih menyeluruh dan sejajar dengan keperluan masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan Program JIWA Madani anjuran bersama Pejabat Daerah Kecil Kiulu, Pejabat Penerangan Daerah Tuaran dan UPPM Kiulu di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut menyarankan bilangan Komuniti Madani di setiap DUN terutamanya di Kiulu untuk ditambah bilangannya.
“Setakat ini, hanya ada tiga Komuniti Madani di DUN Kiulu iaitu di Kampung Mantob, Kampung Rungus Nahaba dan Kampung Bongol.
“Sekiranya ada keperluan, kita akan memohon kepada Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Negeri Sabah untuk menambah bilangan Komuniti Madani kerana ini merupakan kaedah terbaik untuk kita sampaikan dan fahamkan maklumat berkaitan kerajaan kepada masyarakat,” tambahnya.
Pengisian program tersebut antaranya adalah ceramah yang melibatkan beberapa agensi seperti taklimat kemudahan RISDA, kemudahan pinjaman yang ditawarkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah dan Skim Perlindungan Kemalangan Takaful Rakyat Sabah.
Turut diadakan, penyampaian watikah pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada wakil daripada enam mukim iaitu Mukim Ulu, Mukim Tengah, Mukim Nabalu, Mukim Pekan, Mukim Hilir dan Mukim Lembah.
Hadir sama, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kiulu, Golubi Guntarek, Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin dan Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri Kiulu, Kumin Gabpai. — JABATAN PENERANGAN SABAH