TAWAU: Seorang wanita mendakwa ditarik rambut dan ditumbuk di bahagian telinga kanan, selain menerima ugutan rumah kongsinya akan dibakar dalam kejadian di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa didatangi sekumpulan individu di rumah kongsi berkenaan.
Menurutnya, seorang wanita didakwa menarik rambut mangsa, manakala seorang lelaki yang tidak dikenalinya bertindak menumbuk bahagian tepi telinga kanan sehingga menyebabkan kesakitan.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung dakwaan pengadu menyiram seorang individu dengan air panas dan memukul anak kepada individu berkenaan.
“Pengadu turut mendakwa menerima ugutan untuk membakar rumah kongsi yang didiaminya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Rosdi berkata, susulan laporan mangsa, sepasukan tiga anggota polis dari Balai Polis Bombalai menjalankan tindakan pengesanan sebelum berjaya menahan tiga individu di pekarangan balai polis berkenaan.
Katanya, suspek terdiri daripada dua wanita masing-masing berusia lingkungan 47 dan 42 tahun serta seorang lelaki berusia lingkungan 45 tahun.
“Ketiga-tiga suspek dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan tindakan kekerasan atau ugutan dan menyelesaikan sebarang perselisihan faham secara aman melalui saluran yang betul.






