KOTA KINABALU: Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah perlu melibatkan lebih ramai golongan profesional dan wakil industri bagi mengimbangi pelantikan wakil parti politik kerajaan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), Datuk Ewon Benedick berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi pelantikan tiga ALP baharu KKIP Sdn Bhd yang terdiri daripada wakil sektor kewangan, perniagaan dan kepimpinan politik.
Katanya, pelantikan berkenaan mendapat perakuan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, selaras dengan cadangannya untuk memperkukuh kepimpinan badan berkanun dan GLC di bawah kementeriannya.
“Saya sangat menghargai sokongan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang memperakukan perlantikan ini sesuai dengan cadangan saya agar perlantikan Ahli Lembaga Pengarah di badan berkanun dan syarikat berkaitan Kerajaan di bawah MINDET memasukkan lebih ramai kumpulan profesional dan mewakili industri, seimbang dengan lantikan mewakili parti-parti politik Kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ewon berkata, tiga individu yang dilantik ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Credit Guarantee Corporation (CGC), Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, yang mewakili kumpulan profesional sektor perbankan dan kewangan.
Turut dilantik ialah Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Penampang (PCCCI), Datuk Kou Lee Chong, bagi mewakili sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta dewan perniagaan di Sabah.
Sementara itu, Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook, yang sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Penempatan Semula KKIP, dilantik bagi meneruskan usaha menyelesaikan isu pemindahan penduduk asal di kawasan berkenaan.
Beliau berharap pelantikan ketiga-tiga ALP baharu itu dapat memberi nilai tambah kepada kepimpinan lembaga pengarah, sekali gus memperkukuh pengurusan KKIP.
Menurutnya, pendekatan sama turut dilaksanakan menerusi pelantikan dua ALP baharu Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) baru-baru ini.
Katanya, kedua-dua pelantikan itu mewakili Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Sabah dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI).






