KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah membenarkan semula aktiviti pendakian Gunung Kinabalu kepada orang awam bermula Khamis (23 Sept) ini selain daripada pembukaan semula semua pejabat dan stesen Taman-Taman Sabah.
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kawasan Taman Pulau-Pulau Penyu di Sandakan dan Pulau Bohey Dulang, Semporna dan Sub Stesen Ulu Kimanis akan mula beroperasi semula hari ini (20 Sept).
“Pembukaan taman itu terhad kepada peraturan yang ditetapkan seperti pelawat yang lengkap divaksinasi COVID-19 sahaja dibenarkan…
“Pelancong domestik dari daerah yang sama sahaja dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Walau bagaimanapu, beliau menegaskan bahawa jumlah pelawat ke destinasi itu juga dihadkan kepada 100 orang pada satu hari, untuk setiap destinasi lawatan.
“Semua aktiviti yang dibenarkan dalam taman tertakluk kepada prosedur prosedur operasi standard (SOP) operasi stesen Taman-Taman Sabah selaras dengan Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 yang dikemas kini pada 11 Sept lalu,” katanya.