Kerajaan Persekutuan, Sabah Selaras Tindakan Stabilkan Bekalan dan Harga Ayam, Telur

Kerajaan Persekutuan, Sabah Selaras Tindakan Stabilkan Bekalan dan Harga Ayam, Telur

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah memperkukuh penyelarasan tindakan bagi memastikan bekalan daging ayam dan telur ayam di negeri ini kekal stabil serta dapat diperoleh pengguna pada harga berpatutan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu merangkumi penelitian terhadap peraturan berkaitan, selain memperkukuh kawal selia pengeluaran dan pengedaran bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Penstabilan Bekalan Daging Ayam dan Telur Ayam di Sabah yang dipengerusikannya di Perbendaharaan Malaysia Sabah, di sini, pada Isnin.

“Mesyuarat ini meneliti kedudukan bekalan dan harga ayam serta telur ayam di Sabah, di samping membincangkan penyelarasan tindakan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ini termasuk memperkukuh peraturan berkaitan serta meneliti aspek kawal selia pengeluaran dan pengedaran bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan.

Armizan berkata, penyelarasan peranan agensi berkaitan perlu dilaksanakan berdasarkan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan tindakan lebih berkesan.

Menurutnya, agensi terbabit termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Pertanian Sabah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta KPDN di peringkat Persekutuan.

“Penyelarasan ini penting supaya isu di peringkat pengeluaran dan bekalan dapat ditangani seiring dengan pemantauan harga dan penguatkuasaan.

“Ia sekali gus membantu memastikan bekalan ayam dan telur ayam di Sabah kekal stabil serta dapat diperoleh pengguna pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu juga akan menjadi asas kepada pembentukan mekanisme lebih berkesan dalam menangani isu bekalan dan harga menerusi perkongsian maklumat, pembahagian tanggungjawab yang jelas serta tindakan susulan yang berkesan.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan bekalan barangan keperluan rakyat di Sabah kekal terjamin dan dapat diperoleh pada harga berpatutan,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar serta wakil jabatan dan agensi berkaitan.