Tiga Parah, Enam Lagi Cedera Dalam Kemalangan Empat Kenderaan di Sandakan

Tiga Parah, Enam Lagi Cedera Dalam Kemalangan Empat Kenderaan di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Tiga individu cedera parah, manakala enam lagi termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran Petron Taman Tshun Ngen, Batu 5, di sini, pada Jumaat.

Kemalangan membabitkan Toyota Vios, Proton Saga, Isuzu D-Max dan sebuah lori Isuzu itu turut menyebabkan kesemua sembilan mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Sandakan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.47 pagi sebelum tujuh anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba pada jam 11.53 pagi, kesemua sembilan mangsa didapati sudah keluar daripada kenderaan dengan bantuan orang awam.

“Tiga mangsa yang cedera parah membabitkan dua wanita daripada Toyota Vios, masing-masing mengalami pendarahan melalui mulut dan luka di kepala, serta seorang wanita berusia 61 tahun daripada Proton Saga yang cedera pada rusuk kiri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, enam lagi mangsa yang cedera termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan lapan tahun yang mengalami trauma.

Katanya, pasukan bomba memberikan rawatan awal sebelum kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan tumpahan minyak di atas jalan raya bagi memastikan kawasan kejadian selamat.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.27 tengah hari selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya.

Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan APM.