Ilau Kalimaran Platform Martabat Warisan Murut, Perkukuh Perpaduan Etnik Sabah – Rubin

Ilau Kalimaran Platform Martabat Warisan Murut, Perkukuh Perpaduan Etnik Sabah – Rubin

0
SHARE

TENOM: Penganjuran Ilau Kalimaran yang memasuki edisi ke-20 tahun ini bukan sekadar meraikan keunikan budaya masyarakat Murut, malah menjadi platform penting memastikan warisan tradisi terus dipelihara, diwarisi generasi muda serta berpotensi dikembangkan sebagai produk pelancongan Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS), Datuk Rubin Balang berkata, sambutan itu memainkan peranan penting dalam memperkenalkan keunikan adat resam, kesenian dan tradisi masyarakat Murut kepada masyarakat umum, khususnya generasi masa kini.

Menurutnya, warisan budaya masyarakat Murut mempunyai akar tradisi yang kukuh dan perlu dipertahankan sebagai lambang identiti serta kebanggaan masyarakat berkenaan.

Beliau berkata, penglibatan masyarakat Lundayeh dalam penganjuran bersama sejak 2025 turut memberikan dimensi baharu kepada sambutan itu, sekali gus memperkukuh hubungan persaudaraan, persefahaman dan perpaduan antara etnik di Sabah.

Katanya, Ilau Kalimaran mempunyai sejarah panjang yang berakar daripada tradisi masyarakat Murut, yang dahulunya dikenali sebagai Injawari atau Panawari sebelum melalui proses penjenamaan semula bagi disesuaikan dengan aspirasi generasi masa kini.

Mengulas tema sambutan tahun ini, “Migogondo Jumalai Sumingkot” yang bermaksud “Bersatu Maju Membangun”, Rubin berkata, ia mencerminkan kepentingan semangat kebersamaan, kerjasama dan perpaduan dalam membentuk masyarakat progresif serta berdaya saing.

Dalam pada itu, beliau melihat penganjuran Ilau Kalimaran sebagai peluang memperkukuh sektor pelancongan berasaskan budaya menerusi keunikan tradisi dan kepelbagaian etnik yang mampu menarik pelancong domestik serta antarabangsa.

Justeru, beliau menyeru semua pihak supaya terus mempergiat usaha memelihara dan mempromosikan warisan budaya tempatan, selain memanfaatkan potensi tersebut bagi membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat, khususnya penggiat seni dan kraftangan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang menjayakan sambutan Ilau Kalimaran Kali Ke-20 Tahun 2026.