Lesen Tiada, PUSPAKOM Tamat Tempoh, Muatan Berlebihan: Semi Trailer Kena Sita JPJ

Lesen Tiada, PUSPAKOM Tamat Tempoh, Muatan Berlebihan: Semi Trailer Kena Sita JPJ

0
SHARE

TAWAU: Tiada lesen memandu sah, pemeriksaan PUSPAKOM tamat tempoh dan membawa muatan berlebihan antara enam kesalahan dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap sebuah semi trailer yang disita di Jalan Apas Balung, di sini.

JPJ Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil menerusi Operasi Khas Kenderaan Perdagangan dan Pewa yang dijalankan JPJ Cawangan Tawau pada 5 November lalu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kenderaan jenis Semi Trailer – Open Platform itu dipandu warga asing yang tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Kenderaan Perdagangan (GDL).

“Selain itu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan pemeriksaan PUSPAKOM bagi semi trailer berkenaan didapati telah tamat tempoh.

“Kenderaan terbabit juga tidak diselenggara dengan baik serta membawa muatan melebihi had yang dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, kenderaan berkenaan disita dan dibawa ke JPJ Cawangan Tawau untuk pemeriksaan serta siasatan lanjut.

JPJ turut mengeluarkan notis sitaan dan saman terhadap pemandu serta pemilik kenderaan terbabit.

Sementara itu, JPJ Sabah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan, khususnya aspek kelayakan pemandu, pematuhan lesen, penyelenggaraan dan had muatan.

Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.