Lima Hari Belum Pulang, Olivia 16 Tahun, Dicari Polis

Lima Hari Belum Pulang, Olivia 16 Tahun, Dicari Polis

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dikenali sebagai Olivia Jeffrey masih belum pulang ke rumah sejak lima hari lalu selepas dilaporkan keluar dari kediamannya di Taman Richdar, Menggatal, di sini.

Remaja berbangsa Dusun itu dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 6 petang pada 7 November lalu dan sehingga kini masih belum ditemui.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam satu hebahan memaklumkan, pihaknya sedang mengesan remaja terbabit dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya.

“Penama dilaporkan keluar dari rumah pada 7 November 2026 sekitar jam 6 petang dan sehingga kini masih belum pulang ke rumah,” menurut hebahan IPD Kota Kinabalu di sini, semalam.

Menurut polis, Olivia mempunyai ciri-ciri fizikal berbadan kurus, berkulit cerah, bermata hitam, berbulu kening nipis, berambut hitam ikal pendek dan berbibir nipis.

Remaja itu kali terakhir dilihat memakai baju-T berwarna hitam dan seluar panjang berwarna hitam.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan penama diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau Sjn Imelda Andereas di talian 016-8706064, atau mana-mana balai polis berhampiran,” menurut hebahan itu.

Polis turut menghargai kerjasama masyarakat dalam membantu usaha mengesan remaja berkenaan.