KOTA KINABALU: Pengguna elektrik berskala besar di Sabah yang mencatatkan penggunaan sekurang-kurangnya tiga juta kilowatt-jam (kWh) dalam tempoh enam bulan berturut-turut diwajibkan melantik Pengurus Tenaga Elektrik Berdaftar bagi memastikan penggunaan tenaga diurus dengan lebih cekap.
Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mula mengeluarkan notis pematuhan kepada pengguna elektrik yang terlibat sejak 4 November lalu di bawah Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik dengan Cekap 2024 (EMEER 2024).
Menurut ECoS, pengguna yang menerima notis berkenaan perlu melantik atau menetapkan seorang Pengurus Tenaga Elektrik Berdaftar dan mengemukakan pengesahan bertulis kepada suruhanjaya itu dalam tempoh tiga bulan dari tarikh notis diterima.
Mereka juga dikehendaki mengemukakan laporan serta dokumen berkaitan selepas berakhirnya tempoh enam bulan yang menyusuli tempoh awal tiga bulan bagi pelantikan tersebut.
Langkah itu bertujuan memperkukuh pengurusan tenaga dan mengurangkan penggunaan elektrik yang tidak diperlukan, khususnya dalam kalangan pengguna berskala besar di Sabah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS (Perancangan dan Kawal Selia Ekonomi), Ir. Magdalene Chu Wai Quan berkata, pelaksanaan peraturan berkenaan bukan sekadar memastikan pematuhan undang-undang, sebaliknya membantu pengguna menguruskan penggunaan elektrik secara lebih sistematik.
“EMEER 2024 bukan sekadar bertujuan memastikan pematuhan terhadap peraturan.
“Sebaliknya, ia bertujuan menggalakkan pengguna elektrik berskala besar mengamalkan pendekatan sistematik dalam pengurusan tenaga, mengenal pasti peluang penambahbaikan, mengurangkan kos operasi serta meningkatkan prestasi keseluruhan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Seminar Pematuhan Peraturan Kecekapan Tenaga dan Program Sokongan di Sabah yang dianjurkan ECoS baru-baru ini.
Menurutnya, EMEER 2024 merupakan antara komponen penting dalam Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah (SEEAP), iaitu pelan hala tuju 10 tahun bagi memperkukuh kecekapan penggunaan tenaga di negeri ini.
Melalui pelan tersebut, pelbagai dasar, program sokongan dan inisiatif pembangunan kepakaran akan diperkenalkan secara berperingkat bagi menggalakkan penggunaan elektrik yang lebih cekap dalam semua sektor.
ECoS turut menjelaskan bahawa kecekapan tenaga semakin penting memandangkan pembangunan pesat Sabah dijangka meningkatkan permintaan terhadap bekalan elektrik.
Sehubungan itu, seminar berkenaan turut memberikan pendedahan kepada peserta mengenai keperluan pematuhan, kemudahan pembiayaan dan penyelesaian teknikal bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.
Antara pihak yang berkongsi kepakaran ialah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Malaysian Debt Ventures Berhad (MDV), Energy IR Sdn Bhd, IEN Consultants Sdn Bhd, Atech Energy Sdn Bhd dan Jurutera Perunding M&E NTM.
ECoS turut menggalakkan pengguna elektrik berskala besar melihat usaha meningkatkan kecekapan tenaga sebagai pelaburan jangka panjang yang bukan sahaja mampu mengurangkan kos operasi, malah menyokong jaminan bekalan dan kelestarian tenaga di Sabah.






