UMS Tembusi Kelompok 200 Universiti Terbaik Asia, Duduki Tangga ke-196

UMS Tembusi Kelompok 200 Universiti Terbaik Asia, Duduki Tangga ke-196

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menembusi kelompok 200 universiti terbaik Asia apabila menduduki tangga ke-196 dalam QS Ranking Asia 2027.

Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tun Musa Aman turut menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian universiti berkenaan.

“UMS turut mencatatkan kedudukan cemerlang dalam penarafan THE Impact Rankings apabila berada di tangga ke-44 dan ke-59 dunia, masing-masing dalam SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 2 (Sifar Kelaparan).

“Ini jelas memperlihatkan komitmen tinggi universiti dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), sekali gus menempatkan UMS sebagai pusat ilmu yang semakin menonjol serta diiktiraf di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-28 di Dewan Canselor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Musa turut mengingatkan UMS agar bersedia menyahut cabaran era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi disruptif, selaras dengan nilai ‘The Brain of Borneo’.

“Sebagai sebuah universiti komprehensif, UMS hendaklah proaktif dalam memastikan para graduannya bukan sekadar menjadi pengguna teknologi AI, sebaliknya menjadi pencipta dan pemimpin yang mengemudi inovasi secara beretika,” katanya.

Pada majlis konvokesyen kali ini, seramai 5,081 graduan daripada pelbagai bidang pengajian diraikan.

Daripada jumlah itu, seramai 585 graduan diraikan pada sidang pertama, membabitkan 490 graduan pascasiswazah serta 95 graduan dalam bidang perubatan dan kejururawatan.