KOTA KINABALU: Situasi bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah semakin bertambah baik susulan penggunaan kapasiti rizab dan set penjana elektrik bagi menampung keperluan pengguna sementara kerja pemulihan menara penghantaran di Ranau dilaksanakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah Electricity (SE) kini bertungkus-lumus memastikan bekalan elektrik kembali normal, meskipun masih terdapat beberapa kawasan mengalami kekurangan bekalan.
“Sekarang pun mereka sudah dapat bekalan, tetapi menara itu dijangka siap dalam masa enam hari.
“Keadaan semakin bertambah baik dan mungkin ada sedikit kekurangan bekalan di beberapa tempat, tetapi pihak Sabah Electricity akan cuba menyelesaikannya sebaik mungkin untuk rakyat kita di Pantai Timur,” katanya ketika ditemui media di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.
Hajiji turut menjelaskan bahawa insiden menara penghantaran tumbang itu berpunca daripada bencana alam dan bukannya sesuatu yang disengajakan.
Bagi penyelesaian jangka panjang, katanya, kerajaan negeri menerusi Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan hampir 3,000 megawatt (MW) kapasiti tenaga melibatkan projek hidro, mini hidro, solar dan turbin angin.
Daripada jumlah itu, lebih 1,000MW dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun, manakala selebihnya menjelang 2030.
Dalam pada itu, Hajiji menzahirkan rasa dukacita terhadap kesulitan yang dihadapi penduduk Pantai Timur dan memberi komitmen bahawa usaha sedaya upaya akan dilakukan bagi memulihkan bekalan elektrik seperti sediakala.
“Saya harap rakyat kita faham. Insya-Allah kita akan selesaikan dalam masa enam hari dari sekarang seperti biasa,” katanya.






