Agong Rasmi Kompleks Mahkamah Syariah Kota Kinabalu

Agong Rasmi Kompleks Mahkamah Syariah Kota Kinabalu

0
SHARE
Ydpa
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (empat kanan) dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (dua kiri) menyentuh bebola kristal semasa gimik perasmian ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah.

Al-Sultan Abdullah ketika merasmikan kompleks tersebut bertitah negeri ini cukup bertuah kerana setelah 46 tahun wujudnya enakmen pentadbiran Islam/syariah, Sabah mendapat satu lagi mercu tanda iaitu Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah.

“Secara tidak langsung telah membuktikan manifestasi kewujudan pentadbiran syariah Islam yang telah bertapak di negeri ini.

“Harus kita banggakan juga hakim-hakim yang telah diamanahkan untuk melunaskan tanggungjawab mengurus segala masalah umat Islam di negeri ini dapat diselesaikan dengan seadil-adilnya, sebaik-baiknya dan secepat-cepatnya.

“Kita tahu ada juga rungutan kerana kelewatan membuat keputusan-keputusan yang kecil ataupun besar tetapi ini harus dijadikan tanggungjawab bersama untuk menentukan segala urusan berkaitan rumahtangga, faraid, undang-undang syarak perlu diuruskan sebaiknya dan secepat mungkin berlandaskan hukum-hakam,” titah Seri Paduka Baginda.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 4.45 petang disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali serta jemaah kabinet Sabah.

Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Negeri Sabah ditubuhkan pada tahun 1995 dan memasuki guna sama persekutuan pada 18 Jun 2008 serta beroperasi di Bangunan Mahkamah Syariah Wisma MUIS sejak awal penubuhannya.

Bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, kerajaan persekutuan melalui Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan projek Rolling Plan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dengan pembinaan kompleks tersebut di tapak berkeluasan lima ekar (2.023 hektar) bermula  9 November 2017 dengan kos RM58.129 juta.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah dilantik selaku agensi pelaksana manakala JKR Sabah sebagai Pegawai Penguasa (SO) projek dan pembinaan siap sepenuhnya pada 22 Julai 2021 dengan tempoh DLP selama setahun selepas sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan.

Kompleks setinggi empat tingkat ini meliputi satu dewan perbicaraan Mahkamah Rayuan Syariah, dua dewan perbicaraan Mahkamah Tinggi Syariah dan tiga dewan perbicaraan Mahkamah Rendah Syariah, kamar hakim syarie, pejabat pentadbiran, bilik-bilik pegawai, bilik sulh, bilik teknologi maklumat, perpustakaan, surau, kafeteria, taman asuhan kanak-kanak dan fasiliti khas orang kurang upaya.

Direka mengambilkira keperluan seismik yang berfungsi menahan gegaran seperti gempa bumi, bahagian hadapan bangunan kompleks ini juga dihiasi ukiran motif tempatan serta kubah yang melambangkan syiar Islam. — JABATAN PENERANGAN SABAH