Ahli Dewan Negara Zahir Penghargaan Rakyat Sabah, Sarawak Kepada Agong

Ahli Dewan Negara Zahir Penghargaan Rakyat Sabah, Sarawak Kepada Agong

0
SHARE
Anifah
Senator Tan Sri Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Keprihatinan, sikap merendah diri dan rasa kasih diserlahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada rakyat Sabah dan Sarawak ketika jelajah Kembara Kenali Borneo mendapat perhatian Dewan Negara.

Memetik sumber Bernama, Menyifatkan keperibadian itu perlu dijadikan contoh oleh setiap pemimpin, Senator Tan Sri Anifah Aman yang berkongsi penghargaan itu berkata rakyat Sabah amat mengagumi dan rasa terharu dengan keramahan Seri Paduka Baginda berdua serta paduka anakanda yang cukup terbuka didekati rakyat jelata tanpa sebarang protokol sepanjang penjelajahan selama 11 hari itu.

“Saya mewakili rakyat Sabah, menjunjung kasih ke atas kesudian Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta paduka anakanda mencemar duli untuk menyantuni rakyat dan mengenali Borneo dengan lebih dekat,” katanya sebelum memulakan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Negara, semalam.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar berharap program sedemikian dapat menjadi contoh kepada semua pihak dalam usaha mengenali dan menyantuni rakyat di Sabah dengan lebih dekat.

Mewakili rakyat Sarawak, Senator Datuk Paul Igai berkata segenap lapisan masyarakat di negeri itu amat terharu dan menghargai inisiatif Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang sedaya upaya mendekati, berinteraksi dan mengambil maklum balas perkara yang dibangkitkan rakyat di sepanjang penjelajahan.

Katanya, keazaman Seri Paduka Baginda berdua menyantuni rakyat terserlah apabila sanggup memandu sejauh 2,154 kilometer dari Tawau, Sabah hingga ke Telok Melano di selatan Sarawak termasuk merentasi Brunei dan Lebuhraya Pan Borneo dan ini mengundang rasa bangga dalam kalangan rakyat.

“Keperibadian ‘Raja untuk rakyat Malaysia’ yang diserlahkan (Seri Paduka) Baginda berdua diterjemah rakyat dengan ribuan rakyat jelata membanjiri di sepanjang jalan yang dilalui rombongan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah,” katanya.

Senator Roderick Wong Siew Lead turut mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rombongan Seri Paduka Baginda berdua dan paduka anakanda serta mereka yang menyertai Kembara Kenali Borneo.

Menyifatkan jelajah itu sebagai amat bermakna kepada rakyat Sarawak, beliau juga menzahirkan harapan dan yakin Al-Sultan Abdullah akan memberi perhatian terhadap perkara yang dikongsikan rakyat khususnya berkaitan kemudahan infrastruktur asas di luar lingkungan Lebuhraya Pan Borneo.

Program Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lalu dan melabuhkan tirai di Telok Melano, Sarawak pada 13 September.

Jelajah yang membabitkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.