MUAR: Seorang pemandu kereta yang mengalami sawan, hilang kawalan lalu merempuh lobi Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dekat sini, semalam.
Kejadian yang dilaporkan berlaku jam 10.15 malam itu, turut tular di media sosial.
Lapor TV3, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan terhadap petugas hospital.
Susulan kemalangan itu, tiang lobi hospital dan beberapa struktur yang sedang dalam kerja pembaikan kerangka bumbung dan siling, mengalami kerosakan.
Pihak hospital ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut berlaku.
Kereta terbabit kemudian ditarik oleh trak penunda dari kawasan lobi hospital berkenaan.
Pihak Polis ketika dihubungi memaklumkan, sehingga tengah malam tadi masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.