Amaran Cuaca Bahaya Di Sarawak Dan Sabah – MetMalaysia

Amaran Cuaca Bahaya Di Sarawak Dan Sabah – MetMalaysia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan Amaran Cuaca Bahaya dengan hujan sangat lebat dijangka berterusan sepanjang hari ini bagi kawasan Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman, di Sarawak serta Sandakan, di Sabah.

MetMalaysia dalam satu kenyataan turut mengeluarkan Amaran Cuaca Buruk dengan jangkaan hujan lebat berterusan di Telupid, Kinabatangan dan Beluran di Sabah.

“Sementara itu, di beberapa kawasan di Sarawak termasuk Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah serta Kudat (Sabah) dijangka berlaku hujan lebat,” katanya.

MetMalaysia turut menjangkakan hujan lebat bermula esok hingga Ahad ini membabitkan beberapa kawasan termasuk Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang, di Sarawak; Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau & Tambunan), Pantai Barat dan Kudat) di Sabah serta Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

“Sepanjang tempoh itu, angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai negeri Sarawak dan Sabah,” katanya.

MetMalaysia turut memaklumkan, angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter (m) boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah Barat dan WP Labuan dalam tempoh itu.

“Di perairan Sabah Timur juga boleh berlaku angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5m yang mana kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” katanya.