KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi selama lima penggal (1986–2008) dan bekas Ahli Parlimen Kota Marudu selama tiga penggal (1990–2004), Datuk Amir Kahar Tun Datu Mustapha menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah hari ni.
Majlis penyerahan borang keahlian kepada Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan, disaksikan oleh ahli parti, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, di Hyatt Central.
Amir ialah anak kepada Tun Datu Mustapha Datu Harun, Yang di-Pertua Negara Sabah pertama, Ketua Menteri Sabah ketiga, serta digelar Bapa Kemerdekaan dan Bapa Pembangunan Sabah.
Beliau berkata, meskipun usianya bakal mencecah 100 tahun dalam tempoh kurang 25 tahun, beliau kembali ke arena politik kerana bimbang dengan kedudukan ekonomi Sabah dan gejala rasuah yang semakin berleluasa.
“Rasuah di sana sini membimbangkan saya. Kalau tidak, saya hanya ingin menikmati hidup,” katanya sambil menegaskan penyertaan semula ke politik adalah sebagai ikhtiar menghapuskan rasuah dan membela rakyat miskin.
Beliau menyeru rakyat Sabah bersatu memperjuangkan nasib generasi muda, mengingatkan bahawa negeri yang suatu ketika dahulu antara terkaya di Malaysia kini menjadi negeri termiskin. “Nasib kita di tangan kita sendiri,” tegasnya.






