
PUTATAN, SABAH – Pencerap dari kumpulan Dark Sky Malaysia, Muhammad Luqmanul Hakim Muharam berjaya mencerap anak bulan Zulhijjah menerusi peralatan Skywatcher AZEQ5, Skywatcher Quattro 200P serta Sony A7sii pada jam 6:50 petang Jumaat.
Cerapan tersebut diperakui oleh kesemua Ahli Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Sabah yang diketuai Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar bersama-sama Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ustaz Abdul Manap Lakariba, Ketua Hakim Syarie Sabah Ahadin Arinen dan Pengarah Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Negeri Sabah Datuk Norjeli Dais.
Cerapan yang bermula ada jam 6.28 petang waktu Maghrib gagal mengesan sebarang imej pada waktu tersebut sehingga Muhammad Luqmanul berjaya merakam imej lengkung yang merupakan anak bulan zulhijjah pada jam 6.50 petang di Balai Cerap Al-Biruni.
Cerapan rasmi anak bulan Zulhijjah dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara oleh ahli jawatankuasa hilal negeri-negeri petang Jumaat. — JABATAN PENERANGAN SABAH





