PENAMPANG: Seorang lelaki dilaporkan mengalami kecederaan selepas dihempap pokok semasa menjalankan aktiviti memotong pokok di kebun dalam kejadian di Kampung Togudon, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.8 tengah hari.
“Jarak ke lokasi mangsa dihempap pokok dari jalan raya adalah sejauh 5 kilometer dan mangsa pula dilaporkan stabil namun mengalami kecederaan dibahagian kepala dan tangan.
“Pasukan bomba kemudian bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum membawa mangsa ke Kampung Togudon menggunakan junkin strecher,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Mangsa kemudian diserahkan kepada Ambulans KKM dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk diberikan rawatan selanjutnya.
Operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.16 petang.






