KUALA LUMPUR – Atlet olahraga kebangsaan Rayzam Shah Wan Sofian gagal meneruskan rentak kecemerlangan apabila sekadar meraih tempat keempat keseluruhan dalam acara 110m berpagar lelaki pada Kejohanan Olahraga Antarabangsa Anhalt di Jerman pada Sabtu baru-baru ini.
Anak jati Sabah ini mencatat 13.84 saat namun masih jauh daripada rekod kebangsaan miliknya sendiri 13.67 saat yang dilakar pada Kejohanan Kurpfalz Gala di Jerman bulan lepas.
Dua atlet Kuwait, Abdulaziz Al-Mendil dan Yaqoub Al-Yoha meraih tempat pertama dan kedua dengan catatan masa 13.55 saat dan 13.59 saat manakala atlet Jerman, Alexander John menduduki tempat ketiga menerusi catatan 13.65 saat.
“Namun saya berpuas hati dengan catatan masa berkenaan kerana terpaksa berdepan dengan halangan angin daripada hadapan serta keadaan cuaca sejuk di sini,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp.
Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim memuji persembahan yang ditampilkan Rayzam Shah pada kejohanan berkenaan yang merupakan antara medan pemanas badan untuk atlet berkenaan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos ini.
“Walaupun gagal meraih kedudukan podium, saya bangga dengan persembahan beliau yang merupakan antara prospek kita untuk meraih emas pada Sukan SEA nanti.
“Beliau menjalani latihan di Leipzig, Jerman selama dua bulan dan saya ucap tahniah kepada beliau kerana menunjukkan kesungguhan baik dari segi latihan dan pertandingan walaupun bersendirian di negara luar,” katanya.
Karim memaklumkan pihaknya akan menyenaraikan beberapa atlet berpotensi meraih pingat pada Sukan SEA 2017 untuk menyertai Kejohanan Olahraga Asia ke-22 di India dari 6-9 Julai ini.
– Bernama