KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak seluruh rakyat Sabah, khususnya generasi muda, supaya terus memupuk semangat patriotisme, mengekalkan perpaduan serta memelihara keharmonian dalam kepelbagaian bangsa dan agama di negeri ini.
Beliau berkata, perpaduan kaum merupakan antara tonggak utama kekuatan Sabah yang perlu terus dipertahankan, terutama dalam mendepani cabaran era kemodenan.
“Perpaduan kaum adalah kunci kekuatan kita yang perlu terus dipertahankan, terutama dalam era kemodenan masa kini,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini.
Hajiji berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan bersama pada 31 Ogos bukan sekadar untuk diperingati, sebaliknya perlu dihayati secara mendalam bagi menyemarakkan semangat patriotik serta menghargai pengorbanan pejuang tanah air dalam menuntut kemerdekaan.
“Saya percaya dua sambutan penting ini mampu menjadi titik penyatuan seluruh rakyat Malaysia di Sabah yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.
Menurut beliau, tema Hari Kebangsaan tahun ini, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina sebuah negara yang maju, inklusif dan harmoni, di samping memastikan nikmat kemakmuran negara dapat dikongsi secara adil oleh seluruh rakyat.
Katanya, tema Hari Sabah, Sabah Tanah Airku, pula mencerminkan rasa cinta, bangga dan kesetiaan rakyat terhadap negeri ini.
“Tema ini juga membawa mesej bahawa pentingnya semangat kebersamaan dan rasa kekitaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum bagi memelihara keharmonian, yang akan menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menyeru seluruh rakyat Sabah supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah di rumah, pejabat, kenderaan serta premis perniagaan masing-masing sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara serta negeri.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya terus bersatu dan menolak sebarang anasir yang boleh menggugat perpaduan serta keharmonian yang sekian lama menjadi kekuatan masyarakat Sabah.
“Marilah kita terus bersatu menolak anasir yang cuba memecah-belahkan keharmonian rakyat di negeri ini.
“Semoga sambutan ini menjadi wadah untuk kita terus memperkukuh jati diri, memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian demi kemajuan negeri ini,” katanya.






