Arab Saudi Lancar Mekanisme Baharu Permohonan Visa Lawatan Peribadi, Tunai Umrah

Arab Saudi Lancar Mekanisme Baharu Permohonan Visa Lawatan Peribadi, Tunai Umrah

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUALA LUMPUR – Pelancaran mekanisma baharu visa lawatan peribadi oleh kerajaan Arab Saudi bakal memudahkan pelawat asing untuk memasuki negara itu bagi menziarahi kenalan mereka.

Menurut Kementerian Luar Arab Saudi melalui Twitter rasmi, visa itu juga membenarkan pelawat untuk melakukan ibadah umrah dan ziarah di Makkah, melawat Madinah, tempat keagamaan dan bersejarah serta menghadiri acara kebudayaan.

“Permohonan visa ini boleh dibuat secara elektronik di platform visa dan prosesnya sangat mudah dan senang,” menurut kementerian itu.

Perkara ini selari dengan usaha Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah kunjungan asing ke negara itu, selaras dengan objektif Wawasan 2030.

Di bawah mekanisma baharu itu, warga Arab Saudi yang ingin mempelawa kenalan untuk melawat perlu mengemukakan permohonan visa lawatan peribadi bagi pihak mereka di platform visa elektronik “National Unified Visa Platform” atau Platform Visa Bersepadu Nasional di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.

“Permohonan visa lawatan peribadi boleh dikemukakan melalui platform eVisa dan perlu mengisi data individu yang diundang. Permohonan itu kemudiannya akan diproses dan ‘dokumen visa lawatan peribadi’ akan dikeluarkan, data boleh dilihat melalui perkhidmatan pertanyaan permohonan,” menurut kementerian.

Kementerian itu menambah pelawat boleh menyelesaikan proses pembayaran yuran dan insurans perubatan selepas mengisi borang permohonan visa masuk di platform visa.

Selepas itu pelawat perlu menyerahkan permohonan dan pasport kepada kedutaan atau konsulat Arab Saudi di negara asal atau melalui pusat, pejabat yang diiktiraf kedutaan atau konsulat.

– BERNAMA