DOHA – Pasukan bola sepak gergasi Asia, Jepun mencipta kejutan selepas menewaskan Sepanyol 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan E awal pagi tadi dan sekaligus mengesahkan tiket ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022.
Walaupun tewas kepada pasukan bola sepak gergasi Asia itu, Sepanyol tetap mara ke slot ke peringkat kalah mati sebagai naib juara Kumpulan E.
Ritsu Doan dan Ao Tanaka memberikan Jepun kemenangan 2-1 ke atas Sepanyol dalam saingan Kumpulan E yang menyaksikan kedua-dua pasukan mara ke pusingan 16 terakhir.
Penyerang Alvaro Morata meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-12 apabila dia menanduk hantaran lintang Cesar Azpilicueta untuk gol ketiganya dalam tiga perlawanan Piala Dunia kali ini.

Jepun menyamakan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung menerusi pemain sayap, Doan yang merembat bola dari luar kotak penalti.
Pemain tengah, Tanaka menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-51, jaringan yang terpaksa dirujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk pengesahan.