JEDDAH, ARAB SAUDI – Arab Saudi mewajibkan semua rakyatnya untuk mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 bermula 1 Februari tahun depan.
Memetik sumber rasmi kerajaan iaitu melalui Kementerian Ehwal Dalam Negeri mendedahkan dos penggalak itu diperlukan untuk penduduk mendapatkan status ‘imun’ di aplikasi Tawakkalna.
Saudi Gazette melaporkan, sumber itu menjelaskan bahawa suntikan penggalak akan diwajibkan lapan bulan selepas seseorang mendapatkan dos kedua vaksin.
Status ‘imun’ diperlukan bagi sesiapa yang ingin menghadiri sebarang acara sosial, ekonomi, komersil, kebudayaan, hiburan atau sukan di negara itu.
Arab Saudi Jumaat lalu melaporkan 38 jangkitan baru COVID-19 dengan satu lagi kematian akibat komplikasi disebabkan coronavirus itu.
Ini membawa jumlah jangkitan keseluruhan kepada lebih 549,800 dan angka kematian setakat ini sebanyak 8,840.