KOTA KINABALU: Penyanyi ikonik Indonesia, Ari Lesmana, bakal menggegarkan Sabah menerusi konsert solo istimewanya berjudul Mangu Di Bawah Bayu yang dijadual berlangsung pada 6 Februari 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC).
Buat julung kalinya tampil dengan konsert solo di negeri ini, vokalis kumpulan Fourtwnty itu menjanjikan sebuah pengalaman muzik yang sarat emosi, tenang dan bersifat intim, selari dengan konsep “Mangu” yang membawa maksud keadaan termenung serta terpesona dalam keindahan perasaan.
Konsert anjuran Sembang Kari Entertainment itu turut menampilkan kolaborasi istimewa bersama DJ Firza dan Millvrd, sekali gus memberi nafas segar serta dimensi muzik lebih dinamik kepada peminat di Sabah.
Pengarah Urusan Sembang Kari Entertainment, En. Fakhrul Khalid berkata, penganjuran konsert berkenaan merupakan langkah penting dalam membawa pengalaman muzik berkualiti tinggi ke Sabah.
“Kami sangat teruja membawakan Ari Lesmana ke Kota Kinabalu. Aura dan identiti muzik beliau mempunyai pengikut yang sangat kuat di sini. Melalui Mangu Di Bawah Bayu, kami ingin mewujudkan satu ruang ‘healing’ untuk peminat sambil menikmati produksi bertaraf antarabangsa di SICC,” katanya.
Menurut beliau, konsert itu bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah pengalaman emosi yang menghubungkan artis dan penonton secara lebih dekat.
Sementara itu, Ari Lesmana turut menyatakan keterujaannya untuk kembali menyapa peminat di Borneo selepas sekian lama.
“Sabah mempunyai energi dan keindahan alam yang luar biasa, sangat selari dengan jiwa ‘Mangu’ yang ingin saya sampaikan. Datanglah, kita berdialog melalui lagu, melepas rindu dan merayakan rasa bersama-sama di bawah bayu,” katanya.
Tiket konsert mula dijual sejak 22 Disember 2025 dengan dua kategori utama iaitu VIP berharga RM377 dan Festival Standing RM177, tidak termasuk caj pemprosesan. Kategori VIP turut menawarkan kemudahan Meet & Greet, laluan pantas, beg tote, lanyard serta barangan rasmi.
Kemudahan bayaran ansuran juga disediakan menerusi SPayLater, PayLater by Grab dan Atome. Tiket boleh didapati secara dalam talian di www.myticketempire.com.
Ari Lesmana dikenali dengan warna vokal unik dan gaya persembahan penuh emosi yang terus menambat hati peminat serantau, manakala Sembang Kari Entertainment pula semakin dikenali sebagai penganjur acara yang komited membawakan artis serta produksi berkualiti tinggi ke Sabah.






