ASTAKA Tarik Diri Sebagai Ahli Gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia

ASTAKA Tarik Diri Sebagai Ahli Gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia

0
SHARE
Awang Sham dalam satu sidang media petang tadi...

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Sepaktakraw Negeri Sabah (ASTAKA) mengikut langkah 10 persatuan lain negara yang baru-baru ini menarik diri sebagai ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Presidennya, Datuk Awang Sham Amit berkata ASTAKA mengambil maklum dan memandang serius keputusan yang dibuat Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) berhubung penyingkiran PSM sebagai ahli gabungannya pada 20 Mei 2021.

“ASTAKA dengan tulus hati mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PSM serta barisan kepimpinannya atas segala usaha dan bakti yang telah ditaburkan kepada sukan sepaktakraw negara sepanjang penubuhannya…

“Pada masa yang sama ASTAKA menyokong penubuhan persatuan badan induk negara yang baru bagi mempastikan kelangsungan sukan sepak takraw terus maju ke hadapan,” katanya.

Katanya ASTAKA tidak mempunyai pilihan selain menyokong jumlah yang lebih.

“Dari segi ahli jawatankuasa kita kekal di bawah nama ASTAKA bagi mewakili negeri Sabah…

“Kita mengharapkan dalam penyusunan yang baru tidak ada mana-mana negeri yang tertinggal dalam pemilihan barisan yang akan diwujudkan nanti.

“Peminat-peminat sepak takraw Sabah juga pasti mengharapkan yang sama iaitu pembangunan khususnya di negeri ini,” tambah beliau.

PSM didapati bersalah susulan tindakan presiden badan induk itu, Datuk Seri Ahmad Ismail menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin ASTAF melihat tindakan itu sebagai melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.