ATB 2 Gagalkan Aktiviti Penyeludupan Haram Rokok Di Tawau

ATB 2 Gagalkan Aktiviti Penyeludupan Haram Rokok Di Tawau

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) menerusi tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) telah berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 3,500 karton rokok secara tidak bercukai menerusi rondaan Op BENTENG BERSAMA di Lorong Hj Salleh, berhampiran Kg Sri Aman sini hari ini.

Kejayaan tersebut adalah hasil tindakan pantas Tim QRF setelah mencurigai tindakan dua lelaki dewasa yang sedang memunggah beberapa buah kotak kedalam sebuah stor sekitar jam 1.30 pagi.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, menyedari kehadiran Tim QRF di kawasan tersebut, kedua-dua lelaki tersebut bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

Hasil pemeriksaan awal terhadap stor tersebut mendapati stor tersebut digunakan bagi tujuan transit penyimpanan rokok seludup dari Indonesia ke pasaran Tawau.

“Tim QRF telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 dan POWB telah meminta bantuan dari Tim OCP Daratan Tawau bagi bantuan proses serahan kesemua Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT) ke IPD Tawau serta membuat laporan polis pada jam 5.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati nilai keseluruhan rampasan bagi 3,500 karton rokok seludup berjenama Astro Menthol King adalah dianggarkan bernilai RM 420,000.00.

“MK ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau,” katanya.

Kesemua barang rampasan RBTT telah diserahkan kepada IPD Tawau pada jam 8.45 pagi untuk siasatan serta tindakan lanjut PDRM. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.