ATM Patahkan Percubaan 10 Warga Indonesia Menyusup Pulang Negara Asal

ATM Patahkan Percubaan 10 Warga Indonesia Menyusup Pulang Negara Asal

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Percubaan 10 orang warga Indonesia menyusup pulang ke negara asal melalui perairan Tawau dipatahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Individu terbabit ditemui sedang bersorok bersama barang peribadi masing-masing di Sekolah Kebangsaan Titingan, Batu 2 Tawau semasa rondaan ‘Op Benteng Bersama’ oleh Tim Quick Reaction Force (QRF) jam 12.10 pagi tadi.

“Mereka terdiri daripada dua lelaki dewasa berusia 23 dan 44 tahun, enam wanita dewasa berusia diantara 25 hingga 54 tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun dan 6 bulan,” kata Komander Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad.

Katanya hasil pemeriksaan kesemua individu terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Maklumat awal diperolehi dari tahanan memaklumkan bahawa mereka bergerak dari Taman Tawau Lama ke Pulau Sebatik menggunakan laluan berhampiran sekolah berkenaan bagi menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen untuk pulang ke Indonesia.”

Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 telah memohon Tim Op Cegah pendatang asing tanpa izin (PATI) Daratan Tawau membantu bagi melancarkan proses tangkapan tersebut,” tambah beliau.

Semua PATI di bawa ke Ibu Pejabat Polis Tawau bagi proses saringan COVID-19 dan penahanan selanjutnya.

Karim berkata operasi akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan juga menyekat penularan wabak COVID-19.

“Kerjasama ini telah menggambarkan sempadan negara dikawal dan ditangani secara serius oleh semua agensi penguatkuasaan…

“ATB akan mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan lain-lain ancaman di Pantai Timur Sabah,” ujarnya.