Bangkit Genggam Ijazah Sarjana UMS Selepas STPM Gagal, SPM Hanya ‘Cukup Makan’

Bangkit Genggam Ijazah Sarjana UMS Selepas STPM Gagal, SPM Hanya ‘Cukup Makan’

0
SHARE
Selvester (kanan) menerima menerima ijazah Sarjana Muda Pengurusan pada Majlis Konvokesyen UNITAR di PICC Kuala Lumpur ...

KOTA KINABALU, SABAH – – Walau pun mendapat hanya tiga kepujian dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan gagal dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ia tidak menghalang seorang jejaka berasal dari Kampung Lobong-lobong Kota Belud untuk bangkit semula mengejar cita-cita melanjutkan pengajian tinggi.

Itu kisah Pegawai Waran II TLS Selvester Yatam, seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Unit Kapal (KD SERANG) berpangkalan di Teluk Sepanggar Kota Kinabalu.

“Ketika menerima keputusan STPM ibu bapa saya masih menaruh harapan kepada saya dan tidak putus-putus memberikan sokongan…

“Saya kemudian berusaha dan mengambil peperiksaan STPM secara persendirian namun keputusan yang sama iaitu semua mata pelajaran yang diambil gagal,” ujarnya.

Kegembiraan yang tidak dapat diungkapkan. Selvester (duduk) mengambil gambar kenangan bersama isteri dan anak-anak selepas menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada Majlis Konvokesyen Ums Ke- 22 di Kota Kinabalu pada Mac lalu…

Lantaran itu, Selvester yang merupakan anak kedua daripada empat adik beradik pada awalnya telah memadamkan cita – cita menyambung pelajaran ke peringkat universiti yang disifatkannya sudah tidak ada harapan.

“Walau bagaimanapun, saya kembali bersemangat untuk melanjutkan pengajian selepas saya memasuki perkhidmatan Tentera Laut pada tahun 2005. Pada ketika saya menamatkan latihan rekrut selama enam bulan, kami telah diberi pilihan untuk memilih kepakaran masing-masing.

“Sebuah aliran yang dinamakan teknikal skim perantis (Apprentice) menawarkan pelanjutan pengajian ke peringkat Diploma melalui kerjasama TLDM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Program yang ditawarkan adalah Diploma Teknologi Marin (Mekanikal) dan Diploma Teknologi Marin (Elektronik).

“Saya telah ditemuduga dan dimaklumkan perlu mengambil dua subjek SPM semula untuk melayakkan diri mendapat Diploma. Semasa temuduga tersebut juga saya bersetuju untuk memilih pengajian dalam bidang program Diploma Teknologi Marin (Elektronik),” jelasnya.

Selvester berkata, banyak cabaran yang dihadapi sepanjang pengajian di peringkat diploma.

“Pada peringkat awal, saya agak sukar untuk membiasakan diri dan merasakan kekurangan masa untuk belajar kerana terikat dengan tugas yang lain selain perlu melaksanakan tugasan dari pihak atasan…

“Namun itu, saya mengambil inisiatif untuk lebih fokus dalam kelas dan mengambil masa belajar selepas tugasan lain selesai. Saya mengambil masa tambahan belajar di asrama bermula pukul 1.00 pagi ke 3.00 pagi untuk mengulangkaji dan menyiapkan tugasan daripada pensyarah.

“Banyak lagi sebenarnya, namun saya sangat lega dan gembira kerana telah berjaya melepasi pelbagai dugaan dan cabaran semasa melanjutkan pelajaran peringkat Diploma.

“Yang paling berharga adalah teringat janji dengan diri sendiri dimana bertekad untuk mengubah diri dan mahu lulus dalam setiap semester. Dengan kelulusan itu tibalah arahan dari pihak TLDM untuk menghadiri konvokesyen dan telah mengengam segulung Diploma di UTM Skudai, Johor pada tahun 2010,” katanya penuh ceria.

Perjuangan Selvester, tidak terhenti setakat itu. Malah jejaka berbangsa Dusun yang telah berkhidmat selama 17 tahun di TLDM ini turut melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda pada tahun 2014.

“Program ini adalah tajaan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Ia kerjasama antara pihak ATM dan Unitar International University (UNITAR) dan saya mengambil program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian)…

“Pada mulanya saya berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan kerana berkerja dalam bidang ini, namun tidak menemukan universiti yang menawarkan secara separuh masa. Saya telah berfikir panjang dan akhirnya saya memilih program Pengurusan kerana merasakan ilmu pengurusan ini lebih luas,” jelasnya.

Menurut beliau, cabaran yang dihadapi pada ketika ini agak berbeza kerana dia telah pun berumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata.

Ujarnya, ia membawa kepada usaha pengurusan masa yang bijak dan sistematik bukan sahaja dalam urusan pekerjaan malah bagi memastikan tanggungjawab terhadap keluarga tidak diabaikan.

“Disamping menjalankan tanggungjawab sebagai ketua bahagian dalam jabatan di unit kapal, saya juga berusaha tidak lalai dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

“Saya juga sentiasa bertekad untuk cekal dan kekalkan momentum untuk tidak hilang fokus dengan pelajaran.

“Pada masa sama, pusat pembelajaran pada ketika itu adalah di Kota Kinabalu dan kapal saya pula berada di Sandakan iaitu dengan jarak kira-kira 300 kilometer atau mengambil masa enam jam perjalanan kereta.

“Saya sama sekali tidak mengalah dengan jarak yang jauh dan berusaha untuk datang ke kelas jika kapal tidak beroperasi,” ujar Selvester penuh semangat.

Beliau akhirnya berjaya menamatkan pengajian tersebut selama tiga tahun enam bulan, seiring masa yang ditetapkan UNITAR.

Ketua Jurutera Elektrik dan Senjata Unit KD Serang TLDM itu mendapat keputusan akhir dengan 3.00 CGPA ke atas, dan meraih segulung ijazah pada Majlis konvokesyen di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Kuala Lumpur pada tahun 2017.

Bagi segelintir pihak, meraih segulung ijazah sarjana muda itu sudah cukup. Namun tidak bagi Selvester apabila terus berjalan maju ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.

“Keinginan saya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana terus melonjak selepas saya menghabiskan pengajian dalam ijazah sarjana muda. Saya mula berfikir universiti mana yang saya pilih untuk menyambung pengajian ini.

“Ketika dalam sedang berfikir-fikir untuk menyambung pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tiba – tiba pada awal tahun 2018 satu pemakluman tawaran daripada TLDM untuk menyambung pengajian dalam program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di UMS secara separuh masa bagi mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda.

“Saya telah cuba memohon dan keputusan amat menggembirakan apabila permohonan saya diluluskan.”

Pengajian di peringkat sarjana adalah tidak sama seperti menyambung pengajian di peringkat diploma dan ijazah.

Ujar beliau, pada awal semester keyakinan dalam diri sendiri agak kurang kerana perlu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris apabila berada di dalam kelas.

“Ia sangat menyukarkan saya, apatah lagi kami diminta membuat pembentangan hasil kajian atau kertas kerja menggunakan perantaraan antarabangsa ini…

“Namun saya cekalkan diri dan sentiasa memperbaiki diri dalam berkomunikasi serta penulisan dalam Bahasa Inggeris melalui pembacaan buku-buku, menulis maklumat serta selalu mendengar cerita dan radio dalam Bahasa Inggeris.

“Saya telah menamatkan pengajian ini pada tahun 2020, namun memandangkan seluruh negara menghadapi pandemik Covid-19, saya serta seluruh pelajar UMS yang lain telah diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS di Di Dewan Canselor pada Mac lalu.”

Sehubungan itu, Selvester turut menyeru agar semua pihak yang sedang berdukacita akibat keputusan yang kurang memuaskan atau mungkin gagal dalam peperiksaan SPM atau STPM untuk terus berusaha dan tidak putus asa.

“Pesanan saya kepada mereka yang di luar sana adalah jika kita menemui kegagalan dalam hidup, itu bukan bererti itu noktah terakhir kita…

“Kita mesti bangkit semula untuk sentiasa memperbaiki potensi diri. Saya telah menemui banyak cabaran dalam kehidupan sehingga saya hampir berputus asa dan merasakan tiada harapan untuk berjaya dalam kehidupan. Namun Tuhan memberi peluang kedua untuk saya menebus kembali kegagalan-kegagalan lama.

“Saya boleh umpamakan keberjayaan seseorang itu ialah seperti membentuk sebilah parang yang sangat tajam. Parang itu dibentuk daripada batang besi lalu ditukul, dibakar dan diasah lalu menjadikannya sebilah parang yang sangat tajam.

“Begitu juga terbentuknya seseorang yang hebat itu, ialah hasil dari pelbagai kesukaran, keperitan dan tantangan yang dihadapi dan sering kali mengeluarkan air mata,” kata Selvester yang menjadikan bekas Laksamana Pertama dari Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM, Dr. Haji Sutarji Haji Kasmin sebagai idola dan sumber inspirasi.

Dalam pada itu, UMS akan mengadakan Majlis Konvokesyen yang ke-23 Pada 25-27 Jun ini dengan menyaksikan seramai 4,319 graduan tahun 2021 diraikan di pentas Dewan Canselor.